Salam buat semua.
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Pejam celik hari ini sudah masuk hari ke-3 kita berpuasa.
Alhamdulillah Allah SWT masih lagi mengurniakan kita dua nikmat yang
besar iaitu nikmat iman dan Islam. Serta masih diberikan kesempatan
untuk meneruskan melakukan ibadah puasa di bulan yang penuh dengan
keberkatan ini.
Secara fitrahnya manusia memerlukan kepada puasa
“Setiap manusia memerlukan kepada puasa sekalipun dia tidak sakit,
kerana toksin-toksin makanan dan ubat berkumpul di dalam tubuh lalu
menjadikannya seperti orang yang sakit dan memberatkannya, maka
kecergasannya akan berkurang. Apabila seseorang berpuasa, dia akan akan
terlepas daripada bebanan toksin-toksin berkenaan dan dia akan merasai
kecergasan dan kekuatan yang tidak dialami sebelum itu.” (Dr. Mac Fedan –
Ahli Perubatan Antarabangsa)
Daripada kata-kata Dr. Mac Fedan di atas, jelas kepada kita bahawa
secara fitrahnya manusia sangat memerlukan suatu jangka masa untuk
merehatkan tubuh badan daripada berterusan menerima toksin-toksin
makanan dan ubat-ubatan. Ini kerana apabila ubat dan toksin berkumpul di
dalam badan manusia akan menyebabkan badan menjadi lemah dan kecergasan
seseorang akan berkurang.
Ramadhan yang panas terik
Ramadhan daripada perkataan ‘ramadho’ yang membawa maksud panas yang
terik. Di dalam Islam bulan Ramadhan merupakan bulan yang ke-9 di dalam
kalendar hijrah. Puasa telah difardhukan kepada seluruh umat Islam
semenjak tahun ke-2 hijrah sehingga hari kiamat.
Lazimnya pada bulan ini cuacanya sangat panas. Bersempena dengan nama
tersebut, semoga Ramadhan akan membakar dan melebur segala dosa yang
telah dilakukan oleh orang yang berpuasa.
Kelebihan bulan Ramadhan:
1. Bulan untuk berpuasa
2. Al-Quran diturunkan
Peristiwa agung ini berlaku pada 17 Ramadhan ketika Nabi Muhamad SAW berusia 40 tahun semasa baginda sedang berkhulwah di Hira’.
3. Bulan kemenangan
Berlakunya kemenangan yang terbesar yang berjaya dicapai oleh umat Islam
ialah didalam peperangan Badar al-Kubra. Peristiwa ini berlaku pada 17
Ramadhan, hari Jumaat tahun 2H iaitu tahun pertama disyariatkan ibadah
puasa di bulan Ramadhan. Seperti yang kita sedia maklum Allah SWT telah
mengurniakan kemenangan kepada umat Islam walaupun bilangan tentera
Islam hanya berjumlah 313 orang berbanding orang kafir seramai 1300
orang.
Satu lagi peristiwa agung berlaku pada bulan Ramadhan ialah
berlakunya peristiwa ‘Fathul Makkah’. Ianya berlaku dalam bulan Ramadhan
tahun ke 8H.
4. Penuh dengan keberkatan
Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang disebut ‘permulaan adalah
rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya dijauhkan daripada api
neraka’.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulallah S.A.W bersabda apabila bulan
Ramadhan telah datang maka dibuka lah pintu-pintu syurga ditutuplah
pintu-pintu neraka dan diikat lah semua syaitan.
5. Bulan penghapus dosa
Dari Abi Hurairah dari Nabi SAW sabdanya: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan
dengan beriman dan mengharap keredhaan Allah nescaya akan diampunkan
dosa-dosanya pada masa-masa lalu.” (HR Bukhari Muslim)
6. Bulan tarbiyah
Bulan Ramadhan mendidik umat Islam supaya menjadi hamba yang bersabar.
Juga mendidik hambaNya kearah melakukan kebaikan serta mendidik hamba
menjadi insan yang soleh dengan istiqamah menjaga seluruh anggota
daripada melakukan perkara yang tidak disukai oleh Allah SWT.
7. Malam Lailatul qadar
Umat Nabi Muhamad SAW merupakan umat yang sangat istimewa kerana
dikurniakan satu malam yang mempunyai pahala melebihi 1000 bulan
beribadah.
8. Bulan taqwa
Dengan melakukan amalan yang dianjurkan dilakukan pada bulan puasa
secara istiqamah seperti qiamulail, bertadarus al-quran dan solat
tarawikh Allah SWT akan mengurniakan taqwa kepada hambaNya.
Kenapa perlu berbuka dengan kurma?
Ketika berbuka puasa Islam menganjurkan umatnya agar berbuka dengan
buah tamar dan air. Kurma akan memberikan tenaga dengan cepat kepada
badan. Apabila kita menyoroti kisah Maryam ibu Nabi Isa AS, Maryam telah
bersandar pada pangkal pokok kurma di saat merasa sakit melahirkan
anak. Lalu Allah SWT telah mengutuskan malaikat untuk memberitahu supaya
digoncangkan pohon kurma untuk mendapatkan kurma yang masak. Daripada
kisah ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa kurma boleh membekalkan
tenaga kepada Maryam tatkala merasa sakit untuk melahirkan Nabi Isa AS.
Kurma juga bertepatan dengan sunnah Nabi SAW. Kurma merupakan buah
yang sangat berkat untuk dimakan. Rasulullah SAW telah mewasiatkan
kepada umatnya untuk berbuka dengan kurma pada bulan Ramadhan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Apabila seseorang dari kalangan kamu berbuka, maka hendaklah dia
berbuka dengan tamar. Jika dia tidak ada, maka hendaklah dia berbuka
dengan air kerana ia adalah penyuci.”(Diriwayatkan oleh Abu Daud, kitab
Puasa, nombor 2355 dan At-Tirmizi, kitab Sedekah, nombor 658)
Dari Anas, sesungguhnya Nabi SAW berbuka puasa dengan beberapa ruthab
sebelum solat, kalau tidak ada ruthab, maka dengan beberapa kurma
matang, kalau tidak ada, maka dengan meneguk beberapa tegukan air putih.
(HR. Abu Daud dan Tirmidzi)
Kurma makanan kesihatan
Jelas disebalik sunnah Nabi SAW mengandungi manfaat yang banyak untuk
kesihatan. Itulah sebabnya Rasulullah SAW memilih kurma berbanding
makanan lain untuk berbuka puasa. Ini tidak lain dan tidak bukan ialah
kerana kurma mempunyai kandungan yang baik untuk kesihatan.
Jika melihat dari sudut sains pula apabila saat untuk berbuka,
organ-organ pencernaan mula aktif dan perlu diberikan sesuatu yang
lembut. Ini akan menyebabkan organ-organ pencernaan memulakan kerjanya
dengan perlahan-perlahan untuk terus mencernakan makanan yang lebih
berat. Sebagai contoh di dalam kehidupan seharian, untuk melicinkan
pergerakan sesebuah kenderaan ianya perlu dipanaskan terlebih dahulu
sebelum bergerak. Ianya juga bertujuan untuk memastikan hayat kenderaan
lebih lama.
Begitu juga dengan tubuh badan kita. Kesihatan sangat diperlukan
untuk memudahkan melakukan ibadah bukan sahaja di bulan Ramadhan.
Seperti kata pepatah arab berbunyi “al-aqlus salim fil jismi ssalim”
yang bermaksud: ‘aqal yang sihat lahirnya daripada badan yang sihat’.
Kurma menghilangkan lapar dan dahaga
Keadaan orang yang sedang berpuasa sangat memerlukan makanan yang
mempunyai gula yang mudah dicerna dan yang boleh menghilangkan rasa
lapar. Nutrisi makanan yang paling cepat dicerna dan sampai ke darah
adalah gula khususnya makanan yang mengandungi satu atau dua zat gula
(glukosa atau sukrosa). Ini kerana tubuh mampu menyerap dengan mudah dan
cepat zat gula hanya dalam beberapa minit. Apatah lagi jika perut
sedang kosong, seperti orang yang berpuasa ini.
Jika kita mencari makanan yang boleh menyamai dua kandungan sekaligus
(menghilangkan lapar dan dahaga), maka kita tidak akan menjumpai
makanan yang lebih baik daripada apa yang disarankan oleh Nabi SAW.
Iaitu kurma.
Kandungan gula dalam kurma
Berdasarkan kajian yang dibuat, menyatakan bahawa satu bahagian kurma
yang dimakan menyamai 86-87% beratnya mengandungi 20-24% air, 70-75%
gula, 2-3% protein. Manakala mengandungi hanya 8.5% serat. Berdasarkan
penelitian, juga ditemui bahawa ruthab (kurma segar) mengandungi 65-70%
air berdasarkan berat bersihnya, 24-58% zat gula, 1.2-2% protein dan
2.5% serat.