Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“ BENCANA ALAM KEWAJIPAN BERMUHASABAH ”
(20 APRIL 2012 / 26 JAMADILAWWAL 1433H)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, agar kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita berjaya di dunia dan di akhirat. Sempena dengan sambutan Hari Bumi pada 22 April ini, maka mimbar Jumaat hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “Bencana Alam Kewajipan Bermuhasabah”.
Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah,
Pada ketika ini kita sering dikejutkan dengan peristiwa bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, banjir besar, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau dan lain lain lagi. Peristiwa sebegini sebenarnya merupakan peringatan daripada Allah SWT kepada makhluknya agar bermuhasabah tentang diri masing-masing. Dalam al-Quran Allah SWT menceritakan banyak tamadun umat manusia dimusnahkan oleh Allah SWT melalui bencana alam, antaranya kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan gempa bumi dan kaum 'Aad dimusnahkan dengan ribut taufan tujuh hari tujuh malam. Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum-kaum tersebut adalah kerana hukuman Allah SWT atas kekufuran dan kemungkaran mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 40:
Maksudnya: “Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri."
Peringatan ayat Allah SWT tersebut hendaknya menjadi pengajaran bagi kita bahawa akibat daripada kekufuran dan perbuatan maksiat yang dilakukan, akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah SWT. Ketahuilah bahawa setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai tiga pengajaran yang berbeza. Pertama: Bagi mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain merupakan peringatan bentuk kasih sayang dari Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya. Kedua: Bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa merupakan azab dan siksa dari Allah di alam ini yang disebabkan oleh kekufuran dan kedurhakaan terhadap perintah Allah dan rasul-Nya. Ketiga: Dengan bencana juga, Allah SWT hendak menunjukkan kepada manusia antara orang yang benar keimanannya dan mana yang tidak beriman.
Perlu difahami bahawa bencana alam juga boleh berlaku disebabkan daripada kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta tergugat . Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41:
Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
Ayat ini menyatakan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah dan menghargai kepada alam semesta. Tindakan-tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan. Malangnya berdasarkan kepada pemerhatian mimbar, ada sesetengah pihak melihatnya sebagai satu kebijaksanaan melalui penggunaan teknologi moden dan kretiviti akal manusia sedangkan ianya merupakan satu kebodohan yang boleh menyumbang kepada bencana dan kemusnahan alam. Ini kerana hubung kait antara manusia dengan alam sangat rapat sekali kerana ianya saling perlu memerlukan.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Alam yang diciptakan oleh Allah SWT sebenarnya adalah untuk memberi manfaat dan bagi kemudahan manusia dan semua makhluk ciptaan Allah. Bagaimanapun, disebalik setiap kejadian mengandungi pelbagai rahsia dan hikmah yang perla dihayati oleh manusia sebagai peringatan yang berguna. Oleh itu, sebagai seorang Islam kita dituntut untuk berfikir dan mencari jawapan disebalik rahsia alam yang terbentang luas ini. Justeru, di dalam al-Quran banyak ungkapan ayat-ayat yang menyeru manusia supaya memerhati, merenung dan memikirkan mengenai kejadian dan fenomena di sekeliling alam ini sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 101:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikanlah dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah),dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.”
Muslimin Yang Dimuliakan Allah,
Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengurus dan mengurangkan kesan bencana alam perlu dilakukan. Di negara kita, Jabatan Alam Sekitar adalah agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar. Fungsi utamanya adalah untuk mencegah, menghapus, mengawal dan membaiki alam sekeliling agar senantiasa terpelihara melalui penguatkuasaan dan program kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat. Namun segala usaha tersebut perlulah diperkukuhkan melalui sokongan dan kerjasama padu semua pihak.
Mimbar ingin mengingatkan bahawa menjadi kewajipan semua pihak memastikan bumi yang kita duduki ini terus selamat. Sebarang rancangan pembangunan dan kegiatan sosio ekonomi masyarakat mestilah tidak merosakkan ekologi alam sekitar. Elakkanlah daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah yang tidak terkawal. Berusahalah untuk menghindari diri dan tempat tinggal dari sebarang bencana dengan menunai segala perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya, kerana sesungguhnya bencana adalah sebahagian daripada balasan dan ujian dari Allah SWT.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita bersama bersatu hati dibawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan demi agama, bangsa dan negara. Mimbar yakin jika semua manusia kembali kepada matlamat kehidupan yang sebenar maka bumi yang kita diami ini akan kembali aman dan tenang serta tiada lagi kegelisahan, ketakutan dan kebimbangan. Marilah sama-sama kita mengurus bumi Allah SWT ini dengan rasa bertanggungjawab, beramanah, jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara. Ingatlah anugerah Allah SWT ini akan menjadi rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama juga boleh menjadi bala bencana serta azab yang tersiksa. Dengan itu seharusnya umat Islam mengambil manfaat dan menambahkan ketakwaan atas kebesaran kejadian Allah ini. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalah surah al-Araf ayat 97-98:
Maksudnya: “Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?”.